Thursday, April 26, 2012

Menangani tekanan


Mengikut sumber yang mama baca :

FENOMENA stres atau tekanan bukanlah perkara baru yang terjadi dalam masyarakat. Stres amat berkait rapat dengan gaya hidup, perwatakan seseorang, faktor keluarga, tekanan pekerjaan dan kejutan budaya.
Sekiranya tekanan gagal dikawal, ia akan memberikan kesan yang negatif kepada kesihatan emosi, mental dan fizikal. Orang yang tidak mampu mengawal tekanan, ditambah pula dengan iman yang kurang akan cenderung untuk berputus asa dan kecewa.

Akhirnya terjadilah kes kemurungan yang berpanjangan, sakit mental, bunuh diri dan sebagainya.
Dalam Islam, tekanan adalah ujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar.
(al-Baqarah:155)

Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, terdapat tanda-tanda yang mungkin akan berlaku seperti sakit kepala, letih, mudah marah, cepat terlupa dan sebagainya.
Antara kesemua faktor-faktor berlakunya tekanan, faktor yang paling banyak berlaku ialah tekanan di tempat kerja.

Ini kerana, pada kebiasaannya masyarakat lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah. Sehinggakan sewaktu berada di rumah sekalipun masih memikirkan tentang kerja di pejabat.
Akhirnya, kita perlu sedar dan faham bahawa setiap kali kita berdepan dengan masalah, maka setiap kali itulah dosa kita diampunkan. Rasulullah SAW bersabda: "Kesedihan atau malapetaka yang menimpa seseorang Muslim merupakan kafarah kepada dosa yang dilakukan."
Oleh itu, apabila kita menghadapi tekanan, perbanyakkanlah bersolat dan bersabar. Firman Allah SWT yang bermaksud: Mintalah pertolongan dengan Allah dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. (al-Baqarah: 153)

Tekanan yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza, oleh itu sebagai seorang Muslim haruslah menerima ujian tersebut dengan hati yang tabah dan reda. Mudah-mudahan, berkat kesabaran kita, Allah SWT akan menggantikan dengan keberkatan hidup dan kebaikan yang lain.

InsyaAllah..........

No comments: